Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan